Sejarah Jabatan Pendidikan (Pelajaran) Perak pada mulanya telah dilakar pada tahun 1890an dengan tertubuhnya jabatan tersebut di Taiping dan ditempatkan di Central School Taiping.  Pada mulanya Encik H.B College mengetuainya dengan memegang jawatan sebagai Nazir Sekolah-sekolah.

Sehingga tahun 1930, Pentadbiran Negeri Perak telah beberapa kali disusun sehingga akhirnya terdapat jawatan utama seperti Nazir Sekolah-sekolah, Guru-guru Pelawat Sekolah Melayu, “Art Supritendant of Physical Education”, Penolong Pelawat Sekolah-sekolah Tamil dan “Domestic Science Mistress”.

Selepas Perang Dunia Ke-2, jawatan Ketua Pentadbiran Jabatan Pendidikan (Pelajaran) bertukar menjadi Nazir Kanan Sekolah-Sekolah.  Pentadbirannya dipindahkan ke Ipoh bertempat di tapak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.  Selepas itu, pejabat tersebut dipindahkan lagi ke bangunan bekas Mahkamah Tinggi di Jalan Tun Abdul Razak, bangunan tertua di kompleks Jabatan Pendidikan Perak sekarang.

Pada tahun 1953, jawatan Nazir kanan Sekolah-sekolah telah diubah menjadi “Chief Education Officer”.  Jawatan tersebut dibantu oleh beberapa Pengelola Sekolah Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil termasuk penolong-penolong mereka dan kakitangan perkeranian.

Dalam tahun 1954, Jabatan Pendidikan telah menyusun semula struktur pentadbiran sekolah-sekolah Melayu dengan memberi perhatian yang lebih kepada Wilayah Perak Utara dan Selatan.  Tugas dan tanggungjawab Nazir Sekolah-sekolah Melayu dan Guru-guru Pelawat telah bertambah disebabkan oleh pertambahan sekolah.

Selepas negara menyambut hari kemerdekaan yang pertama, sistem dan organisasi pentadbiran semakin mantap dan sesuai dengan kehendak Dasar Pelajaran Kebangsaan berikutan dengan wujudnya Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.  Pada sekitar tahun 1960an, satu rombakan yang melibatkan pentadbiran Sekolah-sekolah Melayu telah dibuat.

Pada tahun 1980an, penyusunan semula sistem pengurusan dan pentadbiran Pendidikan telah berlaku.  Beberapa bahagian di jabatan telah diperkemaskan dan kakitangan turut bertambah mengikut fungsi dan tugas di setiap bahagian.  Pada 1 Jun 1982, Pejabat Pendidikan Daerah Perak telah ditubuhkan dengan tujuan membantu melicinkan urusan pendidikan di peringkat daerah di seluruh negeri Perak.

Selaras dengan itu, penyusunan semula Struktur Baru Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Perak telah disusun semula pada tahun ini dan ia terdiri daripada dari 10 sektor berikut:-

·         Sektor Pengurusan Akademik

·         Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan

·         Sektor Pendidikan Islam

·         Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan

·         Sektor Pengurusan Sekolah

·         Sektor Penilaian dan Peperiksaan

·         Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas

·         Sektor Jaminan Kualiti

·         Sektor Pengurusan Maklumat (ICT)

·         Sektor Psikologi dan Kaunseling

Go to top