SEKTOR PENGURUSAN AKADEMIK

SOALAN-SOALAN LAZIM BIDANG ICT (FAQ)

 

1.    Apakah mata pelajaran di bawah Kurikulum ICT dan Pengkomputeran?

i.        Mata pelajaran ICT untuk Sijil Pelajaran Malaysia (Tingkatan 4 & 5)

ii.       Mata pelajaran Computing (Tingkatan 6)

 

2.    Apakah program-program ICT yang utama yang berada di bawah pengurusan Bidang ICT dan Pengkomputeran?

Antara program ICT yang diurus oleh Bidang ICT dan Pengkomputeran ialah Program ICTL for Primary School, Program ICTL for Secondary School, Program EduWebTV, Program Kampus Astro, Projek RintisInteractive Evaluation System (IES), Program 88 Sekolah Bestari Penanda Aras, Program Bestari Luar Bandar, Program Pembestarian Sekolah, Program SchoolNet, Program GTL Schools, Program KPerak e-Learning Cluster, dan Program-program Berkaitan Pendidikan Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

 

3.    Saya guru ICT, adakah saya perlu mengikuti Kursus EDICT?

Semua guru yang mengajar mata pelajaran ICT SPM perlu mengikuti kursus EDICT untuk melayakkan mereka mengajar mata pelajaran ini dan memohon BISP.

 

4.     Bagaimanakan cara untuk saya mengikuti kursus EDICT?

Guru yang belum mengikuti kursus EDICT perlu mengemukakan permohonan secara bertulis kepada Bidang ICT dan Pengkomputeran, Sektor Pengurusan Akademik, JPN Perak. Permohonan ini kemudiannya akan dipanjangkan kepada Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) untuk tindakan selanjutnya.

 

5.     Bolehkah sekolah saya menawarkan mata pelajaran ICT tanpa kelulusan JPN Perak?

Tidak boleh. Mata pelajaran ICT merupakan mata pelajaran terkawal. Pihak sekolah perlu mengemukakan permohonan bertulis kepada JPN Perak.

 

6.     Jika sekolah kami ingin menawarkan mata pelajaran ICT, apakah tindakan yang perlu kami ambil?

Pihak sekolah yang ingin menawarkan mata pelajaran ICT perlu mengemukakan surat permohonan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum mata pelajaran itu boleh dilaksanakan di sekolah. Surat permohonan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pelajaran Perak. Bidang ICT dan Pengkomputeran, Sektor Pengurusan Akademik akan mengatur pemantauan ke sekolah berkenaan bagi memastikan sama ada sekolah memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk menawarkan mata pelajaran ICT.

 

7.     Apakah kriteria untuk menawarkan mata pelajaran ICT?

BPK, KPM telah menetapkan bahawa sekolah perlu memenuhi sekurang-kurangnya kriteria minimum untuk menawarkan mata pelajaran ICT, iatu;

i.          Mempunyai kemudahan makmal komputer.

ii.          Mempunyai sekurang-kurangnya 20 unit komputer yang dirangkaikan dan berfungsi dengan baik.

iii.          Mempunyai kemudahan internet.

iv.         Mempunyai guru opsyen major ICT (diploma/ijazah). Guru yang hanya mempunyai opsyen minor ICT tidak layak mengajar mata pelajaran ini. 

 

8.      Berapakah bilangan pelajar dalam 1 kelas mata pelajaran ICT?

Maksimum 20 orang pelajar dalam 1 kelas dengan kadar 1 pelajar : 1 PC. Jika sekolah mempunyai ramai pelajar yang ingin mengikuti mata pelajaran ini, pihak sekolah dikehendaki membuka kelas ICT yang lain.

 

9.      Adakah Program ICTL for Primary School dan ICTL for Secondary School wajib dilaksanakan di sekolah?

Sekolah yang mempunyai kemudahan makmal komputer diwajibkan melaksanakan Program ICTL bagi sekolah rendah dan sekolah menengah. Bagi sekolah kurang murid (SKM), Program ICTL wajib dilaksanakan sekiranya sekolah mempunyai kemudahan bilik komputer dengan sekurang-kurangnya 5 unit komputer.

 

10.    Bagaimanakah saya boleh mendapatkan Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran dan Modul bagi mata pelajaran ICT, Program ICTL for Primary School dan Program ICTL for Secondary School?

Sukatan Pelajaran, Huraian Sukatan Pelajaran dan Modul bagi mata pelajaran ICT, Program ICTL for Primary School dan Program ICTL for Secondary School boleh dimuat turun (download) dari laman sesawang BPK, Kementerian Pelajaran Malaysia di URL: http://www.moe.gov.my/bpk/

 

11.    Adakah sekolah yang melaksanakan Program ICTL mendapat peruntukan PCG?

Tidak. ICTL adalah program dan bukan mata pelajaran. Oleh kerana itu, sekolah yang melaksanakan Program ICTL sama ada sekolah rendah ataupun sekolah menengah tidak mendapat peruntukan PCG.

 

12.     Sekolah kami bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak swasta untuk membuka kelas ICT kepada murid-murid. Apakah tindakan yang perlu kami buat?

Sila patuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/2000: Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kelab Komputer/Teknologi Maklumat Sekolah yang perlu dibaca bersama-sama dengan Surat-Surat Pekeliling Ikhtisas: SPI Bil. 6/1988: Panduan Tajaan oleh Syarikat/Badan Perniagaan di Sekolah; SPI Bil. 12/1988: Larangan Menjalankan Jualan Terus di Sekolah-Sekolah; SPI Bil. 6/1992: Penerimaan Hadiah dan Sumbangan daripada Pertubuhan, Institusi, Syarikat atau Kerajaan Negara Luar; SPI Bil. 3/1997: Program dan Aktiviti Sekolah yang Melibatkan Dasar dan/atau Pungutan Wang.

Joomla SEF URLs by Artio