SOALAN-SOALAN LAZIM

MATA PELAJARAN LUKISAN KEJURUTERAAN

BIDANG TEKNIK & VOKASIONAL

SEKTOR PENGURUSAN AKADEMIK

 

1.    Apakah syarat yang melayakkan seorang guru Lukisan Kejuruteraan untuk menerima Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK)?

Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17/2007 pada perenggan 9, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Kejuruteraan) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (Kejuruteraan) yang mengajar di sekolah menengah perlu memenuhi syarat peruntukan waktu minimum mengajar sekurang-kurangnya mengajar 15 waktu seminggu untuk melayakkan diberi Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal.

 

2.     Bagaimanakah prosedur untuk melakukan pelupusan dan penggantian harta modal (Komputer) yang diterima sebelum tahun 2000 untuk mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan? 

Pihak sekolah perlu mengisi borang pelupusan KEWPA 17 dan dihantar ke Unit Perolehan dan Pengurusan Aset, Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pelajaran Perak. Kemudian untuk penggantian pula, pihak sekolah perlu merujuk kepada Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Sektor Pembangunan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Aras 5 & 6, Blok E14, Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putra Jaya.

 

3.      Apakah tindakan yang perlu diambil untuk membuka mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan (LKJ) ?

Bermula tahun 2009, Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) telah mengumumkan bahawa tiada sebarang perluasan boleh dibuat di dalam Amalan Belanja Mengurus (ABM). Namun begitu bagi pihak sekolah yang ingin juga menawarkan mata pelajaran LKJ perlu mengemukakan surat permohonan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum mata pelajaran itu boleh dilaksanakan di sekolah. Surat permohonan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pelajaran Perak. Bidang Teknik dan Vokasional, Sektor Pengurusan Akademik akan mengatur pemantauan ke sekolah berkenaan bagi memastikan sama ada sekolah memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk menawarkan mata pelajaran LKJ.

 

4.      Apakah persamaan dan perbezaan antara Lukisan Kejuruteraan (LKJ) dengan Teknologi Kejuruteraan (TK)?

Persamaan antara Lukisan Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan ialah satu mata pelajaran elektif dalam kumpulan II (Teknik dan Vokasional) untuk tingkatan 4 dan 5 dalam program KBSM. Perbezaanya pula ialah (LKJ) merupakan satu bahasa grafik yang digunakan untuk menyampaikan maklumat secara tepat dan ringkas. Manakala Teknologi Kejuruteraan pula adalah satu rancangan pengajaran dan pembelajaran yang menyediakan pelajar-pelajar dengan pendidikan asas-asas yang berkaitan dengan industri.

 

5.     Bagaimanakah format pentaksiran markah Lukisan Kejuruteraan?

Lukisan Kejuruteraan

Kertas 1 : 75% (Soalan Lukisan Geometri satah dan bongkah)

Kertas 2 : 25% (Kerja Kursus)

Jumlah : 100%

Joomla SEF URLs by Artio