Cetak
Jumlah paparan: 6116

SOALAN-SOALAN LAZIM TENTANG GANJARAN KONTRAK GURU/ PRA/ JAGA

 

1.            Apakah yang dimaksudkan dengan Ganjaran Kontrak?

 

(i)       Ganjaran Kontrak merupakan salah satu daripada faedah tamat perkhidmatan yang dibayar kepada pegawai yang dilantik secara kontrak setelah mereka menamatkan perkhidmatan dengan memuaskan.

(ii)     Ganjaran Kontrak merupakan sejumlah bayaran yang diberikan kepada pegawai kontrak mengikut kadar yang telah ditetapkan setelah pegawai menamatkan kontrak masing-masing dengan memuaskan.

 

 

2.            Siapakah yang layak menerima ganjaran kontrak?

 

(i)       Pegawai telah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam kontrak.

(ii)     Pegawai telah menurut dan menjalankan segala Perintah-Perintah Am, Perintah-perintah Am Kewangan atau Perintah-perintah Pentadbiran Kerajaan yang lain.

(iii)    Laporan Prestasi Tahunan di setiap akhir tahun perkhidmatan kontrak boleh digunakan bagi mengukur samada perkhidmatan seseorang pegawai kontrak tersebut memuaskan atau sebaliknya.

 

 

3.            Apakah kategori pegawai-pegawai yang tidak layak menerima bayaran ganjaran kontrak ini?

 

(i)       Pegawai yang dibuang kerja ekoran cuai, enggan atau kerana apa-apa jua sebab yang bertentangan dengan syarat-syarat perjanjian.

(ii)     Pegawai kontrak yang meletak jawatan.

(iii)    Pegawai yang tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan.

 

 

4.            Apakah peraturan-peraturan untuk memproses bayaran ganjaran kontrak ini?

 

Bagi tujuan memproses pembayaran ganjaran tersebut, dokumen-dokumen berikut adalah diperlukan :

(i)       Surat Perjanjian Perkhidmatan Kontrak;

(ii)     LP Lantik, LP Pergerakan Gaji dan LP Tamat;

(iii)    Sijil Akuan Berhutang;

(iv)    Kenyataan Perkhidmatan dan Kenyataan Cuti;

(v)     Penyata KWSP 1036 C / Pengesahan Tidak Mencarum;

(vi)    Sijil Penyelesaian Cukai Pendapatan;

(vii)  Borang Baucar Bayaran (Kew. 304);

(viii) Salinan buku akaun bank.

 

 

5.            Apakah perkara-perkara yang perlu dititikberatkan/ diberi perhatian semasa menyediakan dokumen-dokumen tersebut ?

 

 

a)       Surat Perjanjian Perkhidmatan Kontrak

(i)               Hendaklah lengkap mengandungi nombor rujukan (jika ada), tarikh perjanjian dibuat, tarikh mula perlantikan kontrak, tempoh perlantikan kontrak, gaji yang ditawarkan, gred dan tanggagaji, jumlah kelayakan cuti rehat bagi setiap tahun perkhidmatan (jika berkenaan) serta kadar ganjaran yang ditetapkan.

(ii)                 Mestilah lengkap dengan ditandatangani oleh Pegawai Kontrak dan Pihak Kerajaan serta saksi masing-masing.

 

b)       LP Lantik, LP Pergerakan Gaji dan LP Tamat

(i)                   Mestilah lengkap mengandungi nombor Fail Peribadi, butir-butir perubahan samada perlanjutan (baru dilantik), pergerakan gaji atau tamat perkhidmatan beserta dengan butir-butir tentang gaji pokok dan elaun-elaun tambahan yang diterima.

(ii)                 Laporan Perubahan (LP) juga mesti mengandungi tandatangan dan cop pengesahan daripada Ketua Jabatan dan mendapat kelulusan daripada Ketua Pembantu Tadbir N22 dari Jabatan Pelajaran Perak. Setiap dokumen salinan mestilah disahkan benar oleh Ketua Jabatan.

 

c)        Sijil Akuan Berhutang (SAB)

(i)                   Mestilah diisikan lengkap dengan nama, nombor kad pengenalan, tarikh bersara, jenis hutang, tandatangan pegawai yang menyediakan dan yang paling penting adalah tandatangan daripada Ketua Jabatan.

 

d)       Kenyataan Perkhidmatan

(i)                   Butir-butir mengenai perlantikan kontrak iaitu rujukan surat kebenaran, jawatan, tarikh mula dilantik serta tempoh lantikan kontrak, gaji yang ditawarkan serta tarikh kenaikan gaji hendaklah dikemaskini dan disahkan oleh Ketua Jabatan.

 

e)       Kenyataan Cuti

(i)                   Jumlah cuti yang boleh diambil hendaklah mengikut jumlah yang ditetapkan di dalam Surat Perjanjian Perkhidmatan Kontrak.

(ii)                 Sekiranya pegawai layak diberikan cuti rehat dan jumlah cuti rehat yang diambil melebihi jumlah yang dibenarkan dalam kontrak maka jumlah yang terlebih itu perlu ditolak daripada tempoh perkhidmatan kontrak dan jumlah ganjaran kontrak akan dikurangkan.

(iii)                Jumlah cuti rehat yang tidak dapat dihabiskan di dalam tempoh sesuatu kontrak akan luput dan tidak boleh dibawa ke kontrak yang baru.

(iv)                Pegawai kontrak tidak layak diberikan kemudahan cuti tanpa gaji. Sekiranya pegawai tidak hadir bertugas untuk sesuatu tempoh, tempoh pegawai tidak hadir bertugas ini tidak melayakkan beliau dibayar gaji. Tempoh ini perlu ditolak daripada tempoh perkhidmatan kontrak.

(v)                 Cuti Haji boleh diberi kepada pegawai-pegawai Warganegara Malaysia yang telah berkhidmat secara kontrak bagi tempoh sekurang-kurangnya 4 tahun dan sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan kontraknya dengan Kerajaan. Bagi pegawai kontrak yang belum menggunakan kemudahan Cuti Haji bergaji penuh ketika dalam perkhidmatan tetap sebelum bersara wajib, mereka layak diberikan kemudahan Cuti Haji bergaji penuh dalam perkhidmatan kontrak. Bagi mereka yang telah menggunakan kemudahan ini ketika dalam perkhidmatan tetap dan menunaikan Haji dalam tempoh berkhidmat secara kontrak, tempoh ini dianggap pegawai tidak hadir bertugas dan tidak layak dibayar gaji. Tempoh tidak hadir bertugas ini perlu ditolak daripada tempoh perkhidmatan kontrak.

 

f)        Penyata KWSP 1036 C

(i)                   Penyata ini hendaklah meliputi tempoh kontrak berkenaan sahaja dan boleh diperolehi daripada Pejabat KWSP 6 bulan sebelum tamatnya sesuatu tempoh kontrak.

(ii)                 Bagi pegawai-pegawai yang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, jumlah faedah Syer Majikan hendaklah ditolak daripada jumlah Ganjaran Kontrak yang diluluskan.

(iii)                Pihak KWSP tidak lagi menggunakan kaedah manual iaitu dengan menghantar lampiran D ke Pejabat KWSP. Kini pihak KWSP telah menyediakan kemudahan Kalkulator untuk membuat pengiraan dividen syer kerajaan secara online. Kemudahan ini disediakan di laman web KWSP dan terhad kepada majikan Kerajaan sahaja. Bagi menggunakan kemudahan ini pihak majikan perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai pengguna I-Akaun Majikan.

(iv)                Pihak majikan boleh mendaftar secara online di (http://www.kwsp.gov.my). Untuk tujuan mendapatkan nombor pin majikan boleh memilih untuk mengambilnya di mana-mana pejabat KWSP yang berhampiran.

 

g)       Sijil Penyelesaian Cukai Pendapatan

(i)                   Cukai Pendapatan bagi pegawai kontrak hendaklah diuruskan oleh Ketua Jabatan dimana pegawai berkhidmat. Bagi tujuan bayaran ganjaran kontrak, sijil penyelesaian Cukai Pendapatan tersebut hendaklah diperolehi terlebih dahulu daripada Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri.

 

h)       Borang Baucar Bayaran

(i)                   Mestilah diisikan lengkap dengan nama, nombor kad pengenalan, nama sekolah dan lain-lain berkaitan seperti di Lampiran yang disediakan.

 

i)         Salinan Buku Akaun Bank

(i)                   Salinan buku akaun penerima yang terkini bagi mendebitkan ganjaran ke akaun penerima.

 

Joomla SEF URLs by Artio