PPD BAGAN DATUK

Ditulis oleh MOHD FAIZUL HAFIZ BIN A. RAZAK on . Posted in PENGURUSAN PENTADBIRAN

Sejarah penubuhan pusat pentadbiran pendidikan daerah bermula pada sekitar tahun 60an. Pejabat Pengelola Sekolah-Sekolah Kebangsaan mula beroperasi pada awal 1960 yang ketika itu merupakan satu-satunya pusat pentadbiran terhadap sekolah-sekolah kebangsaan. Pada masa itu, ada antara Pejabat Pengelola Sekolah Daerah melangkaui beberapa daerah pentadbiran. Ketika itu, jawatan pegawai pendidikan selaku Ketua Pentadbir Pendidikan Daerah disebut Pegawai Pengelola Sekolah. Beliau dibantu oleh beberapa orang Penolong Pengelola.

Pada tahun 1982, berlaku penstrukturan semula Pejabat Pendidikan Daerah. Penstrukturan semula Pejabat Pendidikan Daerah Negeri Perak ketika itu melibatkan perubahan jawatan-jawatan. Pejabat Pendidikan  Daerah diketuai oleh Pegawai Pendidikan Daerah dibantu oleh seorang Penolong Pegawai Pendidikan (Menengah) dan seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Rendah) serta dua orang Penyelia (Menengah dan Rendah).

Seterusnya, pada tahun 1995, sekali lagi berlaku penstrukturan semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) / Pejabat Pendidikan Bahagian (PPB). Tiga unit diwujudkan untuk membantu dan melicinkan jentera pentadbiran, iaitu Unit Pengurusan Sekolah, Unit Pengurusan AKademik serta Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan dan Khidmat Sokongan. Ekoran daripada itu, Pegawai Pendidikan Daerah dibantu oleh tiga orang Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah mengikut unit pengurusan berkenaan. Jawatan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Rendah) dikekalkan. Mulai Januari 2004, seorang Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah bidang pengurusan pembangunan dan bekalan diwujudkan.

Berkuat kuasa 16 Oktober 2017, PPD Bagan Datuk telah beroperasi sepenuhnya di bawah pentadbiran Haji Sulaiman bin Haji Samsudin. PPD Bagan Datuk beroperasi sementara di bangunan gunasama PPD Hilir Perak Cawangan, Jalan Raja, 36000 Teluk Intan, Perak. PPD Bagan Datuk menerima pegawai baharu seramai 11 orang pegawai perkhidmatan pendidikan pelbagai gred jawatan.

Visi : "Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera"

Misi : "Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara"

Objektif :

1. Mempertingkat Kecemerlangan Kepimpinan, pengurusan organisasi, tahap profesionalisme pengurusan pendidikan dan kualiti Pengurusan pentadbiran institusi pendidikan.
2. Memantapkan kualiti profesionalisme semua warga pendidikan secara berterusan.
3. Mempertingkat Prestasi Kecemerlangan Murid Dalam Aspek Pendidikan.
4. Melahirkan Insan Yang Cemerlang Dari Segi Jasmani, Emosi, Rohani Dan Intelek.
5. Mempertingkat Pembangunan Prasarana Pendidikan.
6. Mempertingkat Permuafakatan Pendidikan.

Piagam Pelanggan :

Kami Warga Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk dengan penuh tekad dan iltizam Berjanji akan memastikan:-

1. Kesemua kanak-kanak mengikut kohot umur yang ditetapkan mendapat tempat belajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan mulai hari pertama sesi persekolahan.
2. Semua sekolah mempunyai bekalan kerusi, meja dan buku teks yang mencukupi dalam tempoh 14 hari bekerja sebelum sesi persekolahan bermula.
3. Semua sekolah menerima keputusan peperiksaan awam pada masa yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
4. Mengurus dan menyelesaikan masalah perjawatan dan perkhidmatan personel dari segi pelantikan, pengesahan, kemasukan ke jawatan berpencen dan lain-lain dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh penerimaan.
5. Kekosongan jawatan Pengetua/Guru Besar diisi dalam tempoh 30 hari bekerja selepas menerima senarai calon perakuan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
6. Permohonan penubuhan Institusi Pendidikan Swasta yang memenuhi terma dan syarat dikeluarkan dalam tempoh 40 hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima.
7. Penempatan guru-guru ke sekolah diuruskan dalam tempoh empat belas (14) hari bekerja setelah menerima senarai guru dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
8. Setiap aduan bermaklumat lengkap yang diterima dikeluarkan surat akuan terima kepada pengadu dalam tempoh satu (1) hari bekerja. Surat jawapan hasil siasatan akan dikeluarkan kepada pihak pengadu dalam tempoh empat belas (14) hari bekerja dari tarikh disahkan.
9. Bayaran bil dan invois dibuat tidak melebihi empat belas (14) hari dari penerimaan dokumen yang lengkap.
10. Pelanggan menerima layanan mesra di Kaunter Khidmat Pelanggan dalam tempoh lima (5) minit.