Bahang Kemerdekaan Warga PPD LMS

Tanggal 31 Ogos sentiasa dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ia merupakan titik akhir bagi pemerintahan penjajah di tanah air kita. Bagi menghayati dan memperingati sumbangan dan jasa para prajurit negara, Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama telah melibatkan diri dalam Pertandingan Sudut Kemerdekaan anjuran Pejabat Daerah yang melibatkan kesemua organisasi besar di daerah Larut Matang Selama. 

Pertandingan ini telah berlangsung dengan jayanya di bawah kelolaan En Suhairi bin Hj. Shoib dan penglibatan semua warga PPDLMS. Kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh semua warga PPDLMS sepanjang proses pertandingan amat sesuai dengan tema kemerdekaan Malaysia pada tahun ini iaitu 'Negara Sehati Sejiwa'.

Proses pertandingan dimulakan dengan perbincangan di antara pegawai dan pelajar praktikal yang diadakan di Bilik Mesyuarat Selama. Melalui perbincangan tersebut, semua pegawai dan pelajar telah dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk membuat Arca KLCC, hiasan sudut dan kecerian pintu gerbang. Tempoh 2 minggu telah diperuntuk dan warga PPDLMS telah menggunakan tempoh yang diberikan dengan sebaik mungkin bagi menyiapkan segala tugasan yang telah diberikan.

Pada 7 September 2017, 2 orang pengadil telah hadir untuk mengadili sudut kemerdekaan yang telah didirikan di ruang legar Unit Pengurusan Sekolah PPDLMS. Secara kesuluruhan, pertandingan ini telah berjaya dilaksanakan dan Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama telah berjaya meraih Johan keseluruhan untuk pertandingan tersebut. Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh warga PPDLMS.