Majlis Perasmian Penyerahan Tablet Beserta Tutor Guru Dan E- Paper Utusan Malaysia Kepada Para Guru

Warga pendidik menyambut baik usaha kementerian pendidikan dan kumpulan Utusan mengadakan program intrevensi tablet guru bagi membimbing mereka memanfaatkan aplikasi 'Tutor Guru dan 'e-Paper' Utusan Malaysia dalam merancang pengajaran dengan lebih berkesan, cepat dan sistematik. Bagi daerah Larut Matang dan Selama, terdapat 108 buah sekolah yang diwakili pengetua dan guru besar masing-masing telah menghadirkan diri dalam majlis perasmian penyerahan tablet yang telah dijalankan di Dewan Arif Budiman pada 7 September 2017. Majlis ini telah dirasmikan oleh Y. Bhg Dato' Hj Ahdmad Shalimin bin Hj Ahmad Shaffie Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Perak dengan kerjasama akhbar digital Utusan Malaysia.

Majlis bermula pada pukul 8 pagi dengan menyambut kedatangan para tetamu. Majlis dimeriahkan dengan ketibaan tetamu kehormat Y.Bhg Dato' Hj Ahmad Shalimin bin Hj. Ahmad Shaffie setiausaha politik kepada YAB Menteri Besar Perak. Pn Zarina binti Mohamed Yusoff bertindak selaku pengerusi majlis bagi memastikan kelancaran majlis pada hari tersebut. Majlis dilanjutkan lagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Perak. Bagi memberkati majlis, Ustaz Fadzilan @ Muhammad Fadzilan bin Rasdi telah dipilih untuk mengetuai bacaan doa dalam majlis tersebut.

Tuan Hj Aminuddin bin Mhd Nor selaku Pegawai Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama telah memberikan ucapan alu-aluan kepada semua tetamu yang hadir. Dalam ucapan tersebut, beliau telah menekankan bahawa penggunaan tablet ini dapat memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas kerana para guru dapat mengakses segala bahan yang terkandung dalam 'e-Tutor' dengan cara yang lebih sistematik. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perasmian dari Y.Bhg Dato' Hj Ahmad Shalimin bin Hj. Ahmad Shaffie Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Perak.

Sebagai gimik perasmian pada majlis tersebut,tujuh buah sekolah yang diwakili pengetua dan guru besar masing- masing iaitu SMK King Edward VII, SMK Dato Kamaruddin, SK Toh Johan, SK Selama,SK Pengkalan Aur, SJK(C) Hua Lian dan SJK(T) Ulu Sepetang telah dipilih untuk menerima tablet daripada Y.Bhg Dato' Hj Ahmad Shalimin bin Hj. Ahmad Shaffie Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Perak. Majlis dilanjutkan dengan jamuan minum pagi di kantin sekolah SK King Edward I sebelum keberangkatan pulang kesemua tetamu kehormat.