Gotong Royong Program Ibadah Qurban PPD LMS

Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidil Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidil Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidil Adha serta khutbah Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Warga PPDLMS turut tidak ketinggalan untuk melakukan ibadah korban. Majlis Gotong Royong Program Ibadah Qurban anjuran PPDLMS telah berlangsung dengan jayanya di perkarangan Dewan Arif Budiman Taiping pada 2 September 2017. Acara bermula pada tepat pukul 7 pagi dan dipengerusikan oleh En Kairol Anuar Bin Nayan. Pada majlis tersebut, empat ekor lembu telah ditumbangkan oleh warga PPDLMS yang diketuai oleh Tuan Hj Muhammad Fadzilan Bin Hj Rasdi. YBHG. Dato' Haji Ahmad Shalimin Bin Ahmad Shaffie dan YBM Dato' Seri Hamzah Bin Zainudin masing-masing telah menyumbangkan seekor lembu untuk dikorbankan pada gotong-royong tersebut. Kesemua daging telah diagihkan kepada semua warga PPDLMS dan satu majlis jamuan telah dijalankan di Dataran Ilmu PPDLMS untuk menjamu kesemua warga PPDLMS.